Di dalam perjalanan keluar dari surau, saya terdengar seorang lelaki menyatakan kepada isterinya : “Tok payoh masuk lah neh dale stadiung, abe tok ‘de nok caghi tekek. Buke tok sey beli, tak dok etek….”
Bermaksud “Tak perlu masuk ye ke dalam stadium. Abang tak sempat nak cari tiket. Bukan tak nak beli, tiada lagipun.”
Si isteri seolah-olah menerima tanpa bantahan. Saya tidak berpeluang untuk melihat air mukanya kerana itu hanyalah kejadian sepintas lalu di tepi saya sahaja.
Di dalam hati saya berkata. “Salute you lady”. Kalau saya berada di tempatnya sudah tentu ada sesuatu yang keluar dari mulut saya seperti : “What! No ticket? What the h*** then I’m gonna do outside here? No ticket for me means no ticket for you as well. Lets go home.”.. ~Leter-leter~leter~leter~
Sebaik sebelum masuk ke dalam stadium Harris mengutarakan kepada saya, mungkin saya mahu menimbang untuk duduk di pihak penyokong Negeri Sembilan. Secara terang, tempat duduk di pihak sana nampaknya lebih banyak yang kosong. Saya berkira-kira ada baiknya juga cadangan tersebut. Lagi pun Negeri Sembilan bukanlah satu negeri yang asing bagi saya.
Memanglah saya ni anak Kelantan tulen, kedua-dua ibu dan bapa saya orang Kelantan.
Tetapi Negeri Sembilan teramat dekat di hati saya. Selama lima tahun saya bersekolah asrama di sana. Tempoh waktu membesar yang menyeronokkan saya habiskan di Tanah Adat itu. Makanannya menjadi santapan saya. Selepas habis bersekolah, saya pergi buat sementara waktu dan pulang kembali untuk bekerja. Rezeki saya ada di sana. Ketika bekerja, saya mengumpul ramai kawan yang asalnya dari Negeri Sembilan. Setiap hari mendengar percakapan loghat Negeri yang juga tidak kurang syoknya.
Di negeri bertuah itu jugalah saya bertemu dengan saudara Harris yang merupakan salah satu anugerah terbaik buat saya setelah saya gagal cinta pertama dan tetapkan minda untuk tidak mahu jatuh cinta lagi sehingga saya pasti – “This is it”. cheeeeeeWAH.
Harris kemudiannya adalah lelaki yang saya kahwini. Setelah berkahwin saya juga tinggal di Seremban, Negeri Sembilan walaupun itu bermaksud saya terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk berkerja setiap lima hari seminggu (saya telah berpindah tempat kerja setelah tamat Ijazah Kedua). Bukan calang-calang orang yang boleh berbuat demikian.
Sekarang tinggal di apartment, kadang-kadang saya rindukan jiran sebelah rumah saya di Seremban, seorang makcik tua berbangsa Sik. Dia saban hari akan menunggu saya pulang dari pejabat di anjung rumahnya hanya untuk menanyakan : “Hello Yanti, you only reach home, how are you? are you tired?” Saya akan senyum kepadanya dan menjawab : “Hi, yes very tired, aunty… You haven’t sleep?” Kami kemudiannya akan masuk ke rumah masing-masing. Paling saya selesa, kami saling tidak “busy-body” dan saya tidak pernah menerima soalan “When are you going to have a baby” daripadanya. Walaupun tidak “busy-body, her ice-breaking conversation" adalah sesuatu yang sungguh menyenangkan.
Jika dibandingkan dengan sekarang, saya hanya sekali terserempak dengan isteri jiran sebelah rumah saya selama hampir dua tahun tinggal di rumah sekarang walaupun pintu apartment kami hanya dipisahkan oleh dinding setebal 4 inci. Ini cerita benar … Hanya sekali dalam hampir dua tahun dan saya pun telah lupa akan rupa parasnya.
Si Kecil Embun juga dilahirkan di sana walaupun ketika itu kami telah pun berpindah ke Ampang. Sehingga kini kami masih kerap turun ke Seremban kerana masih merujuk Pakar Kanak-kanak yang sama untuk Si Kecil Embun. Jika pun tidak ke hospital kami akan sengaja pergi kesana untuk melewati kedai-kedai makan yang menjadi kegemaran kami di hujung minggu. Nasib baiklah Seremban itu tidak jauh dalam erti kata di dalam negeri berjiran dengan tempat tinggal kami sekarang.
Pendek kata hampir 10 tahun saya mengenali Negeri Sembilan, dan itu adalah hampir satu per tiga dari umur saya sehingga sekarang. Tempoh itu juga hampir sama dengan jangkamasa saya tinggal di negeri sendiri Kelantan kerana hidup saya ini banyak berkelana.
Panjang lebar saya berkisahkan diri saya dan Negeri Sembilan, namun kami tetap memilih pintu pagar untuk penyokong Kelantan kerana di sudut hati, saya adalah Kelantanese……………………. And I came to support my countryman. Amacam ? bersemangat tak saya malam itu?
Sebaik melepasi pintu pagar stadium, beg saya diperiksa dan pengawal keselamatan menjumpai dua botol berisi air di dalamnya. Ia adalah tidak dibenarkan dan merupakan sesuatu yang tidak kami ketahui. Oleh itu, saya dan Harris terpaksa menghabiskan 600ml air minuman kosong dan 600ml air ribena setiap seorang di hadapan pintu pagar itu juga.
Lautan manusia bebaju merah meliputi 2/3 kapasiti stadium benar-benar membuatkan saya teruja dan terkesima. Sorakan Gomo Kelate Gomo menaikkan semangat, saya secepat kilat mengirimkan sistem pesanan ringkas kepada kawan sekerja seorang penyokong tegar Selangor, berbunyi “Kalau sorak, 200% Kelantan dah menang malam ni”